Dreaming of dodols and kerosene lamps
Before anything, I would just like to extend a very warm Happy Deepavali to all celebrating it. My wish is that you all have had a wonderful time celebrating the festival of light.
Lama sudah aku merantau. Sudah hampir 3 tahun. Banyak telah kutimba, kepelajari, pengalaman aku lalui. Setiap tahun aku di tanah asing ini, semakin mudah ringin beban hati ini untuk meninggalkan negara yang tercinta. Meninggalkan ahli keluargaku, saudara-mara dan rakan-rakanku. Meninggalkan Melayuku, Cinaku, Indiaku, Ibanku, Kadazanku, mereka yang aku terima sebagai anak ibu pertiwiku.
Namun, beban di hati tetap beban di hati. Seberapa ringan ia tiap tahun baru menjelma, aku tetap mirindui akan tanah airku. Bukan mudah menjadi perantau. Banyak yang harus dikorbankan sebenarnya, banyak yang harus ditinggalkan. Tetapi apakan daya? Tujuan aku menaiki pesawat ke sini, menjangkau beribu-ribu batu adalah demi menimba segelintir ilmu di dada. Aku pasrah akan kenyataan ini.
Walau begitu, hati ini tetap di Malaysia. Lebih-lebih lagi tatkala bulan-bulan suci Ramadan dan Syawal. Terasa sungguh akan jauhnya negara tercinta. Sudah sekian lama aku tidak berbuka puasa bersama ibu bapaku serta adik beradik yang disayangi. Di kelilingi dengan jamuan bermacam aneka, murtabak, kuih muih, ayam percik, aku hanya perlu tepuk dada dan bertanya selera. Setiap petang berkunjung ke pasar Ramadan, memilih segala jenis jamuan buat berbuka.
Dan pabila Syawal kian dekat, radio berkumandang dengan lagu-lagu raya. Sempurnakah hari-hari menjelang Aidilfitri tanpa ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Allahyarham Saloma? Bagaimana pula dengan ‘Suatu Hari di Hari Raya’, nyanyian M.Nasir? Lagu yang penuh dengan erti nan indah. Musafir mana yang hatinya tidak terusik, mendengar ‘Dendang Perantau’? Benar, aku cuba untuk mencipta semula suasana ini, namun tidak terlampau jika aku berkata bahawa sesungguhnya ia tidak sama.
Dan di seluruh negara, manusia berduyun-duyun mengisi kompleks membeli belah. Mencari pakaian demi menyambut Syawal, meraka sanggup bertitik peluh berjalan ke sana-sini walau sedang berpuasa. Membeli pakaian baru yang beraneka rupa dan warana, dan mengapa tidak, bukankah Aidilfitri muncul hanya sekali setiap tahun?
Wahai Hari Raya, malap sungguh kurasakan sinarmu di tanah asing ini. Ke mana perginya pelita tujuh likur? Pelita yang menyinari jalan-jalan desa yang sunyi, bak sinar bintang yang menerangi bumi. Aku dibawa oleh memori kepada waktu silam di mana aku pulang ke kampung bersama keluarga. Suasana damai permai yang dapat menenangkan mana-mana hati yang menyaksikannya.
Aku rindu akan sayup takbir Syawal, memecah hening subuh, menandakan tibanya Aidilfitri. Solat raya di kampung di waktu pagi, disusuli dengan kunjungan ke pusara, demi mencucuri doa kepada mereka yang telah pergi. Kemudian pulang untuk menjamu selera di kala pagi raya. Hatiku tertanya, ke mana perginya ketupat dan rendang? Dodol dan wajik, lemang yang dibakar? Tidakkah tanah asing ini sedar akan nikmatmu? Sedarlah wahai anak Malaysia, betapa bertuahnya kita dikurnia akan rezeki sebegini.
Kepada ayah bonda , ampunilah segala dosa diri ini. Halalkanlah makan minum anak ini yang banyak berdosa. Sesungguhnya aku sedar kadangkala aku terkasar bahasa, tersilap langkah, tergusir hati ayah bonda yang tercinta. Ingin benar hati ini melutut di hadapan mereka. Memegang erat dua tangan mereka dan sambil berlingan air mata, aku ingin memohan maaf zahir batin, serta berterima kasih kerana memelihara diriku selama ini. Tetapi apakan daya, keinginan hati perantau ini dihalang oleh jarak ribuan batu jauhnya.
Wahai Aidilfitri, kau sinarlah tanah airku dengan keriangan dan kesyukuran, walau aku tak dapat bersama. Perantau ini berdoa kepada yang Esa untuk tidak putus mencurah berkat, rahmat dan nikmat kepada negaraku, tanah airku, tanah tumpahku yang sungguh aku cintai.
Selamat Hari Raya.